Penyanyi rock terkenal, Awie hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, KL atas pertuduhan memukul isterinya, baru-baru ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana Ampang, di sini, kira-kira jam 1.30 petang, pada 2 Jun lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Awie yang ditemui media di luar mahkamah berkata kes yang berlaku ini tidak menggangu kariernya namun berserah kepada Tuhan jika rezekinya cuma sampai di sini selain tidak mahu mengulas lanjut.
“Kes ini tidak mengganggu kerja saya. Saya masih bekerja seperti biasa. Tapi kalau Tuhan kata sampai sini saja rezeki saya, saya terima. Saya minta maaf kerana tidak dapat mengulas lanjut. Saya serahkan semuanya kepada peguam saya”, katanya ringkas.
Sementara itu, mahkamah telah memerintahkan penyanyi ini membayar ikat jamin sebanyak RM9,000 dengan dua orang penjamin. (rtky/fr)
No comments:
Post a Comment