Seremban: Ketika diselamatkan bulan lalu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, begitu kurus dan muka cengkung sehingga disangka mayat, manakala beratnya hanya 14 kilogram (kg).
Bagaimanapun, apabila dibenar keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, semalam, muka dan tubuhnya kelihatan berisi dan beratnya mencecah 22kg.
Pakar diet HTJS, Dr Basmawati Baharom, berkata Firdaus yang kini suka makan, dibenarkan keluar selepas keadaannya sihat.
“Firdaus suka makan apa saja yang diberikan kepadanya. Bagaimanapun, dia tidak suka mengunyah menyebabkan kami hanya memberi makanan lembut dan sayur.
“Walaupun tidak boleh bercakap, Firdaus ada cara untuk memberitahu dia lapar dan hendak makan, dengan menyebut ‘meme’,” katanya ketika ditemui di HTJS, semalam.
Malah, ketika Firdaus menunggu dalam van Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum meninggalkan HTJS, dia berulang kali menyebut ‘meme’ dan senyap apabila pegawai JKM memberinya kuih bahulu.
Remaja kurang upaya itu ditemui dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah di Taman Semarak, Nilai, ketika operasi memburu pendatang tanpa izin oleh jabatan imigresen, 21 Jun lalu.
Kes dapat liputan luas
Remaja itu dibawa hospital untuk rawatan dan kesnya mendapati liputan luas serta menarik perhatian masyarakat dan pemimpin negara.
Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Abdullah Hanapi, berkata selepas keluar hospital, Firdaus dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk pihaknya mendapatkan perintah hak penjagaan semen-tara mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Ia bagi membolehkan Firdaus ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah.
“Dalam tempoh sebulan berada di sini, jika tiada orang yang sesuai untuk menjaganya, JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menjaganya secara kekal dan dia akan terus tinggal di Taman Sinar Harapan.
“Ibunya, Lolanopita Sadi, 40, melawatnya dua kali sepanjang dia berada di HTJS. JKM tidak menghalang wanita itu melawat anaknya jika kami mendapat hak penjagaan kekal,” katanya
No comments:
Post a Comment