Hanya kerana berebut kawasan berniaga, seorang lelaki bertindak memarahi seorang peniaga wanita sebelum video insiden itu tular di media sosial sejak semalam.
Memetik laporan Kosmo, kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran di Parit Raja, Batu Pahat pada 25 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata peniaga wanita tersebut sedang menunggang motosikal bersama anaknya dan menjual buah potong dari satu kedai ke satu kedai lain pada ketika itu.
“Pengadu sebelum ini menjalankan perniagaan yang sama di sekitar kawasan Tongkang Pecah sejak 10 tahun lalu bersama tiga orang anaknya berusia antara 12 hingga 17 tahun.
“Bagaimanapun, pengadu berhasrat meluaskan kawasan jajaannya hingga ke Parit Raja sebelum ditahan oleh suspek dan memarahinya dengan cara yang kasar agar tidak menganggu kawasan perniagaan suspek,” katanya.
Menurutnya lagi, laporan polis telah dibuat oleh pengadu wanita yang berusia 40 tahun susulan kejadian pada pukul 11.45 malam.
Berikutan laporan tersebut, lelaki yang berusia 37 tahun itu ditahan dan disoal siasat. Siasatan mendapati suspek juga adalah seorang peniaga buah potong dan minuman.
“Suspek mengakui memarahi pengadu kerana tidak mahu pengadu menjaja di kawasan Parit Raja kerana boleh menjejaskan perniagaannya,” katanya.
Sumber : Kosmo Online, FB Siakap Keli
No comments:
Post a Comment