Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd. Nor’muzil Mohd. Razalli, 39.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Ketika menjatuhi hukuman, Hakim Ahmad Rizki menasihati tertuduh supaya insaf dan bertaubat atas kesalahan yang dilakukan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Nor’Muzil didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi bersifat jelik melalui perkhidmatan aplikasi YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dilihat pada pukul 11.15 malam di hadapan sebuah stesen minyak di Cyberjaya, 16 Julai lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohd Nor’Muzil memohon dikenakan hukuman denda yang ringan atas faktor pekerjaannya selain mempunyai tanggungan.
“Saya nak buat rayuan untuk membayar denda ringan dan minta dikurangkan atas faktor kerja dan anak,” katanya di hadapan Hakim Ahmad Rizki.
Nor Azizah kemudiannya memohon kepada mahkamah agar menjatuhi hukuman pemenjaraan dan denda sebagai pengajaran kepada tertuduh berikutan kenyataannya yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Sekiranya perbuatan seperti dilakukan tertuduh dibiarkan berlaku, ia boleh menggugat keharmonian masyarakat dan mengancam keamanan kerana terdapat lebih 20 laporan polis yang dibuat berdasarkan hantaran itu.
“Ini kesalahan serius yang dibuat dengan sengaja untuk hina kesucian Islam, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT, jika dikenakan hukuman ringan tertuduh cenderung untuk mengulangi perkara sama,” kata Nor Azizah.
Media pada 17 Julai lalu melaporkan seorang lelaki yang menghina Islam menerusi satu rakaman video ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang juga duda dan bekerja sebagai penghantar makanan itu ditahan susulan video berdurasi 36 saat yang tular di laman sosial.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment