Melalui Instagram malam tadi, Adi meluahkan kekecewaannya dengan pihak Studio Kembara Sdn Bhd yang didakwanya susah untuk dihubungi.
Secara sinis, pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu juga berkata, dia sudi menghadiahkan telefon genggam agar mudah menjalankan urusan bersama.
“Kepada Studio Kembara Sdn Bhd andai tidak cukup handphone kerana susah dihubungi, saya sudi hadiahkan satu agar mudah untuk berkomunikasi dan berurusan.
“Kerana ini, saya manfaatkan di media sosial agar mesej saya sampai ke pihak Studio Kembara.
“Insya-Allah saya tidak akan hadir tayangan gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta. Terima kasih,” katanya malam tadi.
Bagaimanapun, Adi, 41, tidak menjelaskan secara terperinci punca isu tersebut berbangkit.
Namun wakil Kembara Studio tampil membalas posting berkenaan bagi meredakan keadaan.
Menurutnya, teguran itu akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Pihak Studio Kembara sudah ambil maklum berkenaan mesej ini.
“Kami panjangkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya, terima kasih,” katanya melalui ruang komen pada entri tersebut.
Hantaran Adi turut mendapat perhatian pelakon Johan Asaari yang memegang watak sebagai Yasin dalam filem arahan Syamsul Yusof itu.
“Kalau abang Kilau tidak hadir ke malam gala filem Mat Kilau di Jakarta, Yasin berat hati untuk ke majlis tersebut,” tulisnya sambil mengiringi komen itu dengan tanda pagar #taatpadayangsatu
Malaysiakini sudah cuba menghungi Adi dan Studio Kembara untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu yang timbul.
No comments:
Post a Comment