Kuala Lumpur: "Memang ada penganjur yang nak bayar murah kepada saya. Saya cakap dengan mereka, kau tengoklah aku dari atas sampai bawah. Selama lebih 60 tahun berjuang, tergamak kau nak bayar aku jumlah itu. Saya cakap terus terang, kalau tahu saya dan kenal saya, anda tahulah berapa harga saya."
Itu kata penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin yang kecewa dengan sikap penganjur yang mahu membayar harga murah untuk persembahannya.
Jeffrydin berkata, adalah tidak masuk akal apabila dia hanya ditawarkan sebanyak RM1,500 untuk satu jam persembahan.
"Itu harga saya waktu mula-mula aktif dulu. Saya rasa sedih kerana tak baik mereka buat begitu. Saya berjuang dari Singapura hingga di Kuala Lumpur dan seterusnya Indonesia. Mereka tak pernah tawarkan harga serendah ini," katanya.
Menurut Jeffrydin, tawaran itu juga untuk acara yang besar dan harga berkenaan memang tidak berbaloi.
"Saya tak kisah tak dapat tawaran menyanyi kalau begini. Mereka dengar orang lain bercakap berkenaan harga ini," katanya.
Penyanyi pop yeh yeh ini berkata, apabila isterinya (Datin Rashidah Abdullah) mendengar cerita, dia minta perkara ini diserahkan kepadanya.
"Penganjur ini pula tak berani nak berurusan dengan isteri saya. Dia memang seorang yang tegas. Saya memang letakkan harga yang berpatutan untuk sejam persembahan bersama band pengiring.
"Saya tahu nak letak diri saya di mana. Mereka nak banding-bandingkan saya dengan artis baru dan saya tak nak begitu. Saya nak berjuang kerana seni," katanya.
Semasa tempoh pandemik Covid-19 selama dua tahun, penyanyi yang popular dengan lagu Seruling Anak Gembala ini kehilangan tujuh tawaran persembahan yang besar.
"Rasa sedih juga tapi kena reda. Selepas ini saya akan beraksi di Singapura. Pop yeh yeh masih kuat termasuk di Sabah dan Sarawak. Untuk persembahan di sana, saya tak perlu letak harga kerana mereka tahu berapa nak bayar. Layanan pun bagus. Insya-Allah selepas ini saya ditawarkan untuk buat persembahan di Australia," katanya.
Jeffrydin sepatutnya menjayakan konsert mini konsert Mas Mona Night bersama L Ramlie, S Mariam serta pemuzik pengiring The Zurah 3 di Grand Barakah Hotel, Ampang, Sabtu ini.
Bagaimanapun penganjur memaklumkan konsert ini ditangguhkan kepada satu tarikh lain yang akan dimaklumkan selepas ini.
Kredit : 'Takkan RM1,500 je' - Jeffrydin (hmetro.com.my) (HMetro)
No comments:
Post a Comment