Brasilia: Seorang ahli bina badan di Brazil, meninggal dunia enam tahun selepas dia mengambil suntikan berbahaya untuk membesarkan saiz ototnya.
Daily Star melaporkan, Valdir Segato meninggal dunia pada ulang tahun kelahirannya yang ke-55 di Ribeirao Preto, Brazil, baru-baru ini.
Lelaki itu sebelum ini pernah diberi amaran oleh doktor bahawa gaya hidupnya mungkin mempunyai komplikasi yang teruk untuk kesihatan selain berisiko strok dan mendapat jangkitan.
Bagaimanapun, Segato yang sudah mengumpul 1.6 juta pengikut di TikTok, tetap menyuntik dirinya sendiri dengan sejenis minyak berbahaya.
Dia enggan berhenti melakukan tabiatnya itu dengan alasan sukakan perhatian.
Segato mempunyai saiz bisep luar biasa iaitu 23 inci dan lelaki berasal dari Sao Paulo itu mengagumi bentuk badan karakter The Hulk dan pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger.
"Mereka memanggil saya Hulk, Schwarzenegger dan He-Man sepanjang masa dan saya suka itu.
"Saya sudah menggandakan bisep saya tetapi saya masih mahu menjadi lebih besar," katanya pada 2016.
Di Instagram (IG), Segato yang menggunakan nama 'Valdir Synthol' dan mempunyai ramai pengikut.
Tetapi media tempatan melaporkan bahawa sebenarnya lelaki itu hidup menyendiri.
Difahamkan, dia menyewa sebuah hartanah yang dibina di belakang rumah seorang lelaki bernama Moises da Conceicao da Silva.
Moises berkata, pada hari dia meninggal dunia, Segato meminta bantuan kerana mengalami masalah pernafasan.
"Kira-kira jam 6 pagi, dia datang ke rumah. Kemudian, dia mengetuk tingkap rumah ibu saya berulang kali kemudian bangun dan berkata, tolong saya, tolong saya kerana saya hampir mati," katanya kepada saluran televisyen Brazil, Globo.
Malangnya, Segato tidak dapat diselamatkan, walaupun dia dikejarkan ke unit rawatan kecemasan.
Kredit : Harian Metro (https://www.hmetro.com.my/utama/2022/08/868042/ajal-obses-nak-terlebih)
No comments:
Post a Comment