Wednesday, May 7, 2014

Anak anda Enggan Makan? Baca informasi ini...

Enggan Makan

Pengenalan
Beberapa tingkah laku pemakanan biasanya berlaku apabila kanak-kanak mula berdikari dan menguji serta meninjau kebebasannya. Ini adalah sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak dan ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Masalah ini jarang disebabkan oleh penyakit yang serius.
Apakah yang dimaksudkan dengan enggan makan?
Keengganan untuk makan berlaku apabila kanak-kanak menolak makanan baru yang diperkenalkan kepadanya atau apa jua makanan ditawarkan kepada mereka.

Apakah makanan yang biasanya ditolak oleh kanak-kanak?
  • Kanak - kanak yang berumur antara 1 tahun hingga 5 tahun biasanya takut untuk mencuba makanan baru yang diperkenalkan kepada mereka. Kanak-kanak memilih makanan dan akan makan makanan tertentu sahaja. Masalah yang paling utama adalah kanak-kanak yang enggan makan sayur.
  • Masalah utama dalam kalangan bayi adalah keengganan makan makanan pejal.
Apakah penyebab masalah ini berlaku?
Keengganan untuk makan merupakan sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak. Pada amnya, kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.
Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak mengalami gejala seperti penurunan berat badan, muntah dan tercekik, anak anda perlukan penilaian yang lebih terperinci oleh doktor anda. Kemungkinan anak anda mengalami penyakit lain (selain daripada keengganan untuk mengambil makanan) seperti:
  • Mempunyai perasaan benci terhadap makanan
  • Kegagalan otot-otot pengunyahan ( mulut)
  • Penyakit "gastro oesphageal reflux"
  • Kegagalan Neuro (otak saraf)-contoh:cerebral palsy (keabnormalan perkembangan otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh).
  • Usus kecil tersumbat "Intestinal obstruction"
  • Achalasia - keadaan yang mengganggu aktiviti normal otot esofagus "gulet" dan ini melibatkan perjalanan bahan-bahan yang ditelan.
Bagaimana masalah ini boleh berlaku?
Bayi anda menunjukkan masalah dengan :
  • Tidak bercerai susu pada masa yang sesuai
  • keengganan memakan makanan pejal.
Kanak-kanak mungkin:
  • Lebih suka memilih makanan - hanya mengambil beberapa jenis makanan sahaja.
  • Enggan memakan makanan baru yang diperkenalkan.
  • Enggan makan apa jua jenis sayur.
  • Hanya makan sejenis makanan sahaja sepanjang masa.
Jika pertumbuhan dan perkembangan anak anda berlaku secara normal, kemungkinan masalah ini adalah masalah biasa.
Tanda-tanda bahaya:
Jika anak anda mengalami tanda atau gejala seperti berikut: - sila berjumpa doktor dengan "SEGERA"
  • Peningkatan berat badan yang perlahan.
  • Perkembangan yang perlahan.
  • Batuk atau tercekik semasa makan.
  • Muntah yang berulang.
Adakah terdapat sebarang komplikasi berlaku disebabkan oleh masalah ini?
  • Tiada komplikasi berlaku sekiranya perkembangan dan pertumbuhan anak anda normal.
  • Walaupun anak anda hanya mengambil beberapa jenis makanan sahaja, ini tidak bermakna anak anda mengalami kekurangan zat makanan.
Adakah masalah ini boleh dirawat?
Anak anda perlu dinilai oleh doktor sebelum diberi sebarang rawatan. Walaupun anak anda memilih atau mengelak salah satu jenis makanan daripada diet hariannya, ini anda tidak perlu bimbang jika dia membesar secara normal.
Jika anak anda membesar secara normal walaupun menolak makanan, cuba cara berikut:
  • Berikan makanan yang sering dielakkan oleh anak anda pada masa yang lain. Terus berusaha dan jangan putus asa.
  • Terus memperkenalkan makanan baru kepada anak anda.
  • Sediakan makanan yang berbeza (termasuklah makanan yang disukai oleh anak anda ) pada setiap waktu makan.
  • Hidangkan makanan dalam pelbagai bentuk yang menarik.
  • Elakkan makanan manis seperti gula-gula di antara waktu makan.
  • Anda boleh memberi vitamin tambahan sekiranya anak anda enggan mengambil makanan tertentu dalam jangka masa yang lama.
  • Elakkan makan ketika menonton tv kerana ia akan mengganggu perhatian anak anda.
  • Makan bersama ahli keluarga akan menggalakkan anak anda makan. Ia juga memberi anda peluang memberi perhatian dan mengajar anak anda makan.
  • Tunjukkan contoh yang baik dengan memakan perlbagai jenis makanan.
Paling penting - elakkan daripada pertengkaran ketika waktu makan.
  • Belajar untuk mengurangkan perasaan risau atau bimbang kerana keadaan ini boleh menguatkan lagi keengganan anak anda untuk makan..
  • Jangan memaksa anak anda untuk makan.
  • Jangan bertengkar dengan anak anda semasa waktu makan.
  • Jangan menghukum anak anda sekiranya tidak mahu makan.
  • Berikan pujian jika anak anda mula memakan jenis makan yang selama ini ditolak olehnya.
Bagaimana masalah ini dapat dielakkan?
Anda harus:
  • Menunjuk contoh dengan memakan hidangan yang lengkap bersama anak anda.
  • Perkenalkan pelbagai jenis makanan baru seawal umur 6 bulan.
  • Jangan berikan terlalu banyak susu atau jus antara waktu makan utama.

No comments:

Post a Comment