Kencing Manis (Diabetes Mellitus)
Apakah diabetes mellitus?
- Penyakit diabetes mellitus adalah satu keadaan di mana paras glukos (gula) adalah tinggi di dalam darah disebabkan oleh kekurangan atau kurang keberkesanan insulin.
- Keadaan ini disebabkan oleh kurang hormon insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas.
- Insulin mengawal keseimbangan glukos dalam badan dengan membantu pergerakan glukos dari darah ke dalam sel.
- Sekiranya anda mengalami diabetes mellitus, glukos tidak boleh masuk ke dalam sel, ia kekal di dalam darah dan menyebabkan paras glukos yang tinggi.
Apakah jenis-jenis Diabetes Mellitus?
- Terdapat dua jenis Diabetes Mellitus
- Diabetes mellitus jenis 1.
- Diabetes mellitus jenis 2.
- Diabetes mellitus jenis 1 selalu terjadi dikalangan kanak-kanak dan remaja, ia meliputi > 90 % kes kencing manis.
Adakah penyakit ini sering berlaku?
- Kejadian diabetes mellitus berbeza antara negara dan komuniti. Di Malaysia dianggarkan kurang dari 1 %.
- Orang dewasa selalunya mendapat diabetes mellitus jenis 2 tetapi dengan masalah kegemukan di seluruh dunia, kanak-kanak juga boleh mendapat diabetes mellitus jenis ini.
Apakah yang menyebabkan diabetes mellitus?
- Sebab diabetes mellitus terjadi dikalangan kanak-kanak tidak diketahui.
- Kemungkinan ia melibatkan gabungan antara keturunan dan faktor persekitaran.
- Diabetes mellitus jenis 1: Kanak-kanak dan remaja selalunya mendapat jenis 1. Ia adalah satu keadaan "antoimmune" di mana sistem imun badan pesakit menyerang tisu-tisu dan organ badannya sendiri.
- Diabetes mellitus jenis 2: Dilaporkan kerap terjadi dikalangan kanak-kanak di negara-negara yang mengalami peningkatan kadar kegemukan/obesiti.
- Sebab-sebab lain termasuk kecacatan genetik fungsi pankreas di mana diabetes mellitus berlaku ketika seseorang itu masih muda (maturity onset of diabetes in the young: MODY).
Apakah gejala penyakit diabetes mellitus?
Gejala yang ditunjukkan oleh pesakit diabetes mellitus jenis 1 bermula 1 minggu atau lebih sebelum kanak-kanak tersebut betul-betul sakit. Anak anda mungkin mengadu:
- Kerap kali kencing dan air kencing banyak (siang dan malam).
- Rasa haus yang amat sangat.
- Berat badan menurun.
- Rasa letih lesu dan kurang tenaga.
Perhatian: (Kencing malam) pada kanak-kanak yang telah terlatih mengawal pundi kencingnya dikenali sebagai "secondary enuresis". Sekiranya anak anda mengalami masalah ini, diabetes mellitus haruslah disyaki.
Gejala tambahan yang sering berlaku pada kanak-kanak:
- Sakit perut dengan atau tiada muntah.
- Sakit kepala.
- Masalah tingkah laku.
- Mudah mendapat jangkitan terutama di kulit.
Sekiranya gejala ini tidak dikenal pasti awal, kemungkinan besar anak anda akan mengalami "diabetic ketoacidosis" (DKA).
Apakah "diabetic ketoacidosis"?
- Ia adalah keadaan kecemasan di mana kanak-kanak mengalami paras glukos yang tinggi dalam darah dengan pernafasan yang cepat serta dalam keadaan keliru atau koma.
- Dalam keadaan ini, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera. Anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan insulin dan terapi cairan.
Diabetes mellitus jenis 2 terjadi pada kanak-kanak di ambang atau selepas akil baligh. Ibu bapa mungkin tidak mengetahui anak mereka mengalaminya sebab tanda-tandanya kurang jelas jika berbanding dengan diabetes mellitus jenis 1.
Masalah apakah yang timbul akibat diabetes mellitus?
Bermulanya komplikasi bergantung pada jangka masa dan kawalan kencing manis. Komplikasi ini hanya akan berlaku di kemudian hari iaitu semasa usia dewasa. Doktor anda akan memberitahu sama ada diabetes mellitus anak anda terkawal atau tidak apabila anda datang untuk lawatan susulan.
Tahap glukos dalam darah yang terkawal akan mengurangkan atau melambatkan berlakunya komplikasi yang melibatkan organ-organ berikut:
- Ginjal: kegagalan ginjal.
- Mata: kebutaan.
- Jantung: serangan sakit jantung, serangan angin ahmar.
- Salur darah: tekanan darah tinggi, peningkatan taraf lipid (lemak).
- Sistem saraf: masalah deria.
- Organ reproduktif: mati pucuk (impotent).
- Kaki: masalah kaki (diabetic foot)
- Kulit: jangkitan kulit berulang seperti bisul.
Komplikasi ini boleh terjadi selepas akil baligh. Doktor anda akan memberi jadual lawatan susulan untuk ujian darah dan air kencing bagi mengesan sebarang komplikasi.
Apakah hipoglisemia dan bagaimana anda mengenalinya?
Dalam masa anak anda menjalani rawatan, anda perlu tahu yang dia mungkin menghadapi hipoglisemia (tahap glukos rendah dalam darah) di mana dia perlu mengambil makanan atau minuman yang manis untuk memperbaiki keadaan.
Tanda dan gejala hipoglisemia:
- Berpeluh sejuk/berpeluh banyak.
- Menggeletar.
- Letih dan lesu.
- Perubahan tingkahlaku/tidak sedar diri.
- Tahap glukos rendah semasa pemantauan di rumah.
Bagaimana merawat diabetes mellitus dikalangan kanak-kanak?
- Pada bila-bila masa, anak anda akan dilihat oleh ahli pasukan diabetes dellitus hospital (hospital diabetes team) seperti Pegawai Perubatan, Pegawai Dietetik, Fisioterapi, Terapi Carakerja, Pakar Otopedik, Pakar Psikologi, Pegawai Pendidikan Diabetes dan Pegawai Kebajikan Masyarakat untuk nasihat dan rawatan tertentu.
- Sekiranya anak anda mempunyai diabetes mellitus jenis 1, dia memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat.
- Dalam diabetes mellitus jenis 2, ubat secara oral (makan) dan suntikan insulin diberi untuk menurunkan tahap glukos dalam darah.
- Untuk kedua-dua jenis diabetes mellitus, anak anda mesti mengambil makanan yang disarankan mengikut sukatan dan melakukan senaman.
- Untuk mengetahui tahap kawalan glukos anak anda, ujian darah yang dipantau di rumah (home blood glucose monitoring: HBGM) perlu dilakukan. Alat yang digunakan ialah glukometer.
- Rekodkan keputusan ujian glukos darah, beserta hari bulan dan masa ujian di dalam buku harian (diary). Dos insulin boleh disesuaikan mengikut bacaan glukos jika perlu.
- Pegawai Pendidikan Diabetes akan mengajar anda dan anak anda mengenai diabetes mellitus.
- Pegawai Dietetik akan kerap kali berjumpa anda dan anak anda untuk memberi nasihat mengenai pemakanan yang sesuai supaya dapat mengawal tahap glukos dalam darah.
- Anak anda dinasihati untuk melakukan senaman secara tetap kerana ini boleh membantu mengurangkan tahap glukos dalam darah. Insulin bertindak dengan lebih efisyen dan membantu mengawal berat badan.
- Bergantung kepada masalah anak anda, dia perlu berjumpa dengan ahli pasukan diabetes dari masa ke semasa untuk rawatan atau nasihat.
- Kanak-kanak yang mengalami diabetes mellitus perlu datang untuk lawatan susulan secara berkala dan dipantau oleh doktor.
Apakah yang perlu dilakukan untuk kanak-kanak yang mengalami diabetes mellitus?
Anak anda mungkin mengalami masalah untuk memahami keadaannya dan menyesuaikan dirinya. Kemungkinan dia juga akan mengalami masalah untuk menerima rawatan (terutama rutin suntikan insulin). Kaunseling dan sokongan psikologi adalah penting untuk anak anda. Dapatkan nasihat doktor dan pakar psikologi.
Bolehkah diabetes mellitus dicegah?
- Tiada cara yang jelas untuk mengelakkan diri daripada mendapat diabetes mellitus jenis 1.
- Untuk diabetes mellitus jenis 2, adalah disarankan anda mengamalkan gaya hidup sihat.
Pemulihan
Kanak-kanak yang tidak mengawal diabetes mellitus akan mendapat komplikasi yang teruk dalam jangka masa panjang. Kemungkinan besar mereka memerlukan satu program pemulihan yang melibatkan fisioterapi dan terapi carakerja.
Sumber : http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/bayikanak-kanak/penyakit-kronik/kencing-manis
No comments:
Post a Comment